Wednesday, April 19, 2006

 

Cerita-cerita di Ceramah Perdana

Date: Tue, 18 Apr 2006 17:36:30 +0800
From: "Nashita Md Noor"
Subject: Ceramah Perdana Protes harga Minyak-Laporan
To: proteshargaminyak@yahoo.com

Protes Harga Minyak.

Pada malam semalam, 17 hb April 2001, kami sekeluarga telah melapangkan masa untuk menghadiri satu ceramah perdana anjuran PROTES mengenai isu protes kenaikan harga minyak. Ceramah bermula jam 9.00 malam. Ikutkan hati saya memang ingin sangat nak pergi, namun ikutkan kekuatan badan, memang letih untuk pergi.Manakan tidak, tugas saya secara rasmi bermula sebaik sahaja azan subuh berkumandang. Kebetulan dari pagi hingga jam 2.30 petang, banyak aktiviti rumah dan keluarga yang perlu diselesaikan. Jam 2.30 petang saya telah berjanji dengan Cikgu Norlaila Othman untuk menghantar anak-anak Anas Bad Latif dan Suhaib Mat Sah pulang ke asrama di Sekolah Menengah Islam Hira’, Jeram Selangor. Maka tepat jam 2.30 petang kami bertolak ke Jeram dengan membawa 2 orang anak kami serta 4 orang sahabat mereka pulang ke asrama. Sepanjang perjalanan kami pergi dan balik kami isikan dengan perbincangan ringan dan berat mengenai isu-isu kezaliman ISA dan aktiviti GMI. Isu yang sebati dengan diri kami berdua.

Jam 7 malam, tiba semula di rumah sambil menunggu anak-anak pulang ke rumah dari sekolah. Selepas Maghrib, kami sekeluarga sudah bersiap sedia untuk ke Dewan Perhimpunan China. 3 orang anak-anak yang baru pulang dari sekolah juga dibawa bersama dalam keadaan lapar dan letih. Sebelum tiba di SCAH, kami singgah untuk solat Isyak dan makan malam. Sampai di SCAH hampir jam 9.30 malam. Hati rasa agak hambar dan sedih melihat dewan yang besar yang sepatutnya boleh memuatkan mungkin 1000-2000 orang dipenuhi dengan kerusi-kerusi kosong. Mungkin hanya 100-150 buah kerusi yang terisi..hanya jangkaan suami saya. Terkenang saya hampir 5 tahun yang lalu iaitu tanggal 30hb April 2001 di kala Gerakan Mansuhkan ISA dilancarkan dengan rasminya pada malam itu. Satu gabungan yang diwakili oleh 82 badan NGO dan parti politik. GMI ditubuhkan setelah 10 orang tahanan politik Reformasi, iaitu Ezam, Tian Chua, Abu ’Urwah, Pak Din, Raja Petra, Ustaz Badrul, Ghani Haroon, Gobalakrishnan, Ustaz Badrul dan Lokman ditahan dibawah akta zalim ISA. Ketika itu semangat bencikan kezaliman pihak pemerintah membuak2. Maka dewan itu juga, dipenuhi padat dengan rakyat yang menuntut bela di atas kezaliman pemerintah. Ramai yang datang dari jauh sejauh dari Utara, Selatan, Timur dan Barat. Dengan desakan yang berterusan dari GMI bersama aktivis pencinta keadilan, dengan sokongan yang kuat dari badan-badan hak asasi luar negara, ke semua 10 orang tahanan politik ISA dibebaskan dengan 6 orang daripadanya dibebaskan setelah tamat tempuh 2 tahun, tanpa sebarang syarat.

Kini pihak pemerintah terus-terusan melakukan kezaliman ke atas seluruh rakyat jelata. Maka ceramah Perdana semalam diadakan bagi menyedarkan rakyat, menggerakkan rakyat dari ’tidur yang lena dan panjang’ untuk bangun bersama menentang tindakan zalim kerajaan menaikkan harga minyak. PROTES juga sebagai satu tanda amaran kepada kerajaan untuk tidak dengan sewenang-wenangnya menekan rakyat dengan bernacam-macam kenaikkan harga pada masa hadapan.

Penceramah-penceramah pada malam itu semuanya hebat-hebat dan bersemangat. Mereka terdiri dari Dr Hatta Ramli sebagai MC, Elizabeth Wong dari HAKAM, Letchumi dari JERIT, Zaid Kamaruddin dari JIM, Syed Shahir dari MTUC, Lim Guan Eng dari DAP, Arutchelvan-PSM, Sivarasa-Keadilan dan Ustaz Nasharudin dari PAS.

Walaupun hadirin begitu sedikit, penceramah tetap bersemangat mungkin kerana hadirin yang datang pun hebat-hebat belaka juga. Ramai yang tidak ’miss’ menyertai perhimpuanan aman. Syed Shahir menyatakan kehairanannya mengapa tidak ramai yang hadir sedangkan isu kenaikan harga minyak ini sangat penting dan menzalimi terutama sekali kaum pekerja. Beliau menyebutkan demonstrasi ini adalah perkara yang tidak ada salahnya namun perkataan tersebut telah dibayangkan sebagai sesuatu yang negatif. Walaupun ada yang yang mengatakan bahawa demonstrasi Protes Sampai Turun tidak akan menurunkan harga atau menjatuhkan sesebuah kerajaan, namun perkara ini tidak mustahil dengan semangat kebangkitan rakyat yang bencikan kezaliman pemerintah. Ini jelas berlaku kepada Thaksin di Thailand juga di Indonesia.

Apa yang tidak berlaku di Negara kita yang tercinta ini ialah ’kegelapan media’. Media utama lansung tidak menyebutkan atau menayangkan tentang peristiwa yang bersejarah ini. Syed Shahir bertanyakan ’Apakah peristiwa penangkapan lebih dari 21 orang awam itu tidak ada nilai berita!!??? Namun menurut beliau, pada malam selepas demonstrasi aman 26 Mac, sekitar jam 12.45 malam beliau telah menerima panggilan telefon dari sahabatnya di Vietnam yang mengucapkan tahniah kepada nya yang membuatkannya terasa hairan. Rupanya sahabatnya dapat menonton di televisyen di sana dengan jelas apa yang berlaku di demonstrasi aman 26 Mac. Tahniah juga untuk kita semua yang bersama menyatakan rasa benci dan marah kita tanpa melanggar undang-undang atau perlembagaan negara.

Dalam semangat yang membara itu, Syed Shahir menyelitkan juga isu-isu jenaka yang mengena ke batang hidung kita sendiri, akan sikap kita. Ketika kerajaan dengan angkuhnya mengumumkan kenaikan harga minyak pada jam 10.30 malam, maka berbondong-bondonglah orang ramai menyerbu stesen-stesen minyak untuk memenuhkan tangki setiap kenderaan yang kita ada sebelum jam 12 tengah malam. Katanya seolah-olah dengan isian terakhir itu apat menampung sehingga tempoh 3 tahun lamanya. Selepas ini kita memang tak boleh tidur sebab mungkin harga tariff letrik dan lain-lain lagi juga akan dinaikkan dan pengumuman akan dibuat pada lewat malam juga. Namun Dr Hatta Ramli menambahkan lagi selorohnya, iaitu bila kerajaan mengumumkan akan naik harga letrik pada jam 10 malam, kita semua tidak tidur dan memasang lampu sebanyak-banyaknya hingga jam 12 tengah malam untuk nikmati harga murah sebelum berakhir. Sinis sekali sebenarnya.

Saudara Arutchelvan pula menambahkan lagi dengan menyebut bahawa alasan yang diberi oleh PM kita kenapa beliau mengambil jurusan Islam adaalah kerana dia telah gagal dalam jurusan ekonomi. Maka patutlah parah kita semua dibuatnya kerana kita memiliki seorang Menteri Kewangan yang gagal dalam subjek ekonomi. Malang...amat malang. Andaian Sdr Arut ialah PM kita sekarang layak digelar sebagai Bapa Separuh Jalan berbanding gelaran Bapa-bapa lainnya. Ini terbukti dengan pembinaan jambatan bengkok ”S” yang berkahir separuh jalan, pencegahan rasuah yang hebat pada awalnya saja, penubuhan IPCMC dan lain-lain lagi. Sdr Arut juga memberikan banyak maklumat mengenai apa yang berlaku di Venezuela di mana hasil keuntungan syarikat minyak di sana dikongsi bersama dengan rakyat dengan pembinaan projek-projek perumahan kepada rajkyat, pembinaan sekolah-sekolah dan lain-lagi. Namun di Malaysia.......??????

Jawapan untuk apa yang berlaku dan tidak berlaku pada keuntungan Petronas ada dihadapan mata kita dan didedahkan oleh Sdr Lim Guan Eng dan Ustaz Nasharuddin. Lim Guan menyebut keuntungan Petronas yang sebanyak 500 billion sejak awal penubuhannya sepatutnya diagihkan kepada semua rakyat. Sekiranya diagihkan secara sama rata kepada rakyat sejumlah 25 juta orang, setiap orang akan mendapat sebanyak RM 20000, Banyak tu. Namun wang tersebut dibazirkan dengan pembinaan projek Mega yang tidak berguna pada rakyat semua. Pembinaan Putrajaya, Petronas Twin Tower, Sepang F1 Circuit dan banyak lagi, pembaziran yang nyata,hasil ilham siapa..apa nama tu???.

Ustaz Nasharuddin mendedahkan jawapan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika ditanya persoalan samada Petronas ada atau tidak membayar zakat dari keuntungan Petronas, jawapan dari Menteri tersebut ialah TIDAK, TIDAK Pernah. Maka menurut Ustaz Nasharuddin, bukan saja PM kita gagal ekonomi tapi dia juga gagal dalam subjek Islamnya.

Banyak sekali yang diperkatakan oleh ke semua penceramah, sungguh bersemangat dan menyuntikkan semangat. Tapi sayang, masih ramai yang tidak ada daya mengerakkan jiwa dan minda bersama-sama mendengarnya. Bagaimana kita hendak berjaya menentang kezaliman sekiranya kita terus berasa lega dan leka. Apa salahnya meluangkan masa meramaikan majlis-majlis seperti ini untuk menunjukkan kepada pemerintah yang ramai rakyat bencikan tindakan mereka. Rakyat mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan. Bukannya kita ingin menghancurkan negara kita yang tercinta dengan perhimpunan aman yang kita lakukan, namun atas dasar sayangkan negara kita. Kita tidak mahu negara kita tergadai kepada kuasa-kuasa besar luar. Menurut salah seorang penceramah sehingga kini sekiranya dibahagi samarata, hutang negara kita ke atas setiap kepala rakyat Malaysia sejak lahir lagi, setiap kita menanggung hutang sebanyak RM 1000. Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak kita yang masih keci kini serta cucu-cicit kita menanggung derita di kemudian hari hasil kealpaan kita mencegahnya. Ini bakal berlaku sekiranya kita masih selesa meneruskan kehidupan seolah kezaliman yang melata hanyalah umpama angin yang berlalu yang menyapa pipi kita.

Ayuh semua...bangkit dan teruskan perjuangan. Satu perhimpunan untuk mengedarkan risalah mengenai isu kenaikan harga minyak akan diadakan pada 22 hb April ini di Masjid India. Mari bersama-sama kita lakukan.

Sekian. Semoga Bermenafaat.
Nashita Md Noor

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?