Wednesday, April 19, 2006

 

Harga minyak: Husam sanggah daleh Abdullah

Mon Apr 17, 06 04:17:34 PM Oleh Mohd Rashidi Hassan

NAIB Presiden PAS, Husam Musa yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan begitu terkilan dengan kelemahan dan kegagalan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mengemudi ekonomi negara sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit dan sengsara. Ahli politik yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya ini mengupas persoalan yang mencengkam minda masyarakat dalam wawancara beliau bersama Mohd Rashidi Hassan.

HARAKAH: BN dakwa PAS menggunakan isu kenaikan harga minyak untuk tujuan politik.

HUSAM: Ini isu kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara, lebih daripada isu politik. Semua lapisan rakyat terjejas, terutama yang berpendapatan rendah. Bagi yang bergaji RM1,500 sebulan, tambahan perbelanjaan RM70 sebulan bermakna 5% pendapatan mereka hangus dengan kenaikan ini. RM70 tidak cukup untuk menampung tambahan perbelanjaan untuk minyak motor atau kereta kancil mereka, kenaikan tambang sekolah dan kenaikan harga barang keperluan. Ramai rakyat berpendapatan tidak sampai RM1,500 pun. Mereka rasa beban ini berat.

HARAKAH: PAS juga dituduh menghasut rakyat.

HUSAM: PAS tak ada di Malaysia pun rakyat tetap marah dengan kenaikan besar yang mendadak ini. Ramai pemimpin BN sendiri tak setuju, bukan semua setuju seperti Ahli Parlimen BN Pasir Puteh. Tengku Razaleigh Hamzah pun tak setuju. Dr Mahathir kata ada cara lain, bukan cara naik harga.Nak kata rakyat marah kerana PAS hasut, tak betul sama sekali. Kita tak setuju kenaikan ini kerana ia menjejaskan semua sektor ekonomi. Namun kita beri jalan penyelesaian, kalau-kalau kerajaan nak terima formula kita, supaya ekonomi tidak teruk terjejas. Kita sangkal hujah kerajaan kerana ia mengelirukan dan tidak tepat.

HARAKAH: Apa formula PAS?

HUSAM: Lihat angka-angka mengenai minyak negara kita. Petronas dah kaut untung bersih, bukan untung kasar tapi untung bersih sehingga 2004 sebanyak RM164 bilion. Ini kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada November 2005. Tahun 2005, untung bersih RM35.5 bilion. Enam bulan pertama tahun kewangan sekarang, untung bersih naik RM20.8 bilion. 164 campur 35.5 campur 20.8, jumlah untung bersih Petronas hingga kini RM221 bilion! Nak belanja untuk rakyat 4 bilion setahun susah?

Pecahan untung bersih Petronas seperti berikut:

Tahun Untung

1999 RM6.808B
2000 RM 12.608B
2001 RM16.488b
2002 RM14.569b
2003 RM15.105b
2004 RM23.659b
2005 RM35.556b
enam bulan
pertama
2006 RM20.8b


Kenapa keuntungan meningkat? Kerana harga minyak dunia naik. Maknanya, kenaikan harga minyak dunia telah meningkatkan keuntungan Petronas. Bila untung Petronas naik, kutipan hasil kerajaan dari Petronas juga naik. Minyak kita jadi macam pelampung ekonomi negara. Bila air naik, pelampung naik. Bila minyak dunia naik, keuntungan kita naik. Keuntungan itu kita cadang kerajaan guna untuk faedah rakyat. Petronas mampu dan tak terjejas.

HARAKAH: Jadi kerajaan tidak berterus terang?

HUSAM: Kerajaan menyembunyikan angka yang sebenar. Itu bahagian yang diperolehi kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti. Bahagian Petronas masih besar iaitu bagi 2006, keuntungan bersih mungkin sampai RM40 bilion. Nak belanja RM4 bilion daripada RM40 bilion ini untuk ringan beban rakyat, Petronas rasa berat?Sekalipun kerajaan mahukan RM23 bilion bersih untuk pembangunan dan tak mau tanggung 4.4 bilion tambahan melalui kenaikan 30 sen itu, beban itu boleh ditanggung Petronas dan bukannya rakyat jelata dan ekonomi negara secara keseluruhan.

HARAKAH: Jadi saudara cadangkan beban ini dipindah pada Petronas?

HUSAM: Petronas boleh berbelanja untuk Formula One berbilion ringgit setiap tahun. Petronas boleh berbelanja ke atas Putrajaya berpuluh bilion. Petronas pernah selamatkan Bank Bumi berbilion ringgit. Adakah satu masalah untuk Petronas guna sebahagian kecil keuntungannya dari khazanah negara milik semua rakyat untuk elakkan beban rakyat? Tentu boleh. Beban itu patut ditanggung Petronas. Lagipun, Petronas ditubuhkan, antara lain ialah untuk menstabilkan harga bahan bakar di negara ini.Hujah kerajaan nak guna keuntungan Petronas untuk melabur sangat tidak masuk akal dan tidak bersifat kasihan belas. Pelaburan Petronas bertujuan beri faedah pada rakyat, bukan setakat melabur dan melabur. Sekarang antara masa faedah pelaburan itu dikembalikan pada rakyat.

HARAKAH: Ada lagi fakta yang mengelirukan diberikan oleh kerajaan?

HUSAM: Kerajaan bercakap mengenai kehabisan pengeluaran minyak negara. Walau apa istilah yang digunakan, gambaran yang cuba diberikan pada rakyat ialah minyak kita akan habis tak lama lagi. Maka kononnya kita kena bersiap untuk harga tanpa subsidi. Tak ada lagi zaman minyak harga murah. kerajaan tak ada pilihan. Kerajaan terpaksa. Sebenarnya, rizab minyak negara kita ialah sebanyak 5.29 bilion tong dan ini boleh kekal untuk 19 tahun lagi. Ini diberitahu Perdana Menteri di Dewan Rakyat November tahun lalu. Itu belum ambil kira penemuan telaga-telaga baru seperti Telaga Pisagan 1A dan lain-lain. Juga tak termasuk penemuan rizab gas yang baru.Kerajaan berikan gambaran itu supaya rakyat telan tindakan kerajaan kerana takut minyak dah nak habis.Kerajaan beri gambaran yang salah melalui perbandingan harga minyak dengan negara jiran. Perbandingan dengan Singapura umpamanya, tidak tepat untuk kata minyak kita RM1.92 seliter lebih murah dari RM4.15 seliter di Singapura. Ini kerana pendapatan rakyat kita berbanding Singapura tak sama. Purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rakyat Singapura ialah USD29,700 dan ini tiga kali ganda purata KDNK rakyat Malaysia kita sebanyak USD10,400. Kalau berasaskan pendapatan purata mereka, minyak di Singapura patut berharga hampir 6 ringgit seliter. Jadi secara berbanding, harga minyak mereka lebih murah dalam ukuran kuasa beli rakyat mereka.Lagipun, Singapura tak ada keluar minyak dan jarak perjalanan mereka pendek. Kita, perjalanan KL–Alor Star umpamanya, bukan dekat. Tambah tol lagi. Di Thailand, lebuh raya utama perjalanan jauh tak ada tol. Ini semua kos selain minyak dan kerajaan kena ambil kira sebelum buat perbandingan macam itu.

HARAKAH: Wang 4 bilion diperuntukkan untuk pengangkutan awam. Apa komen saudara?

HUSAM: Ini lagi tidak adil dan tidak munasabah. Apa sebab rakyat di pedalaman Sarawak yang masih menggunakan bot sebagai pengangkutan utama terpaksa membiayai pembinaan pengangkutan awam untuk orang Kuala Lumpur dengan kenaikan ini? Apa hal pula rakyat Kelantan, Terengganu dan Perlis umpamanya? Apa pengangkutan awam yang akan dibaik pulih di negeri mereka dengan wang 4 bilion tadi? Kalau tak ada, mereka tolong negeri lain dengan membayar harga lebih mahal dan adakah ini adil? Pengangkutan awam adalah penting tetapi adalah tidak wajar rakyat menjadi terbeban kerana kerajaan tak tau cari jalan lain untuk dapatkan wang bagi buat perkara itu. Lagipun semua pengangkutan awam bukannya percuma, rakyat terpaksa membayar apabila hendak mengunakannya kelak. Ini hanya gula-gula untuk sejukkan rakyat selepas kerajaan rampas nikmat harga murah dari kita semua. Kita juga bimbang, apa yang dikatakan perbelanjaan pengangkutan awam tadi ialah untuk kroni-kroni dapatkan projek.

HARAKAH: Apa sebab saudara kata begitu?

HUSAM: The Star keluaran 18 Mac, ruangan Biz week melaporkan anak syarikat Scomi, Scomi Engineering akan mendapat sekurang-kurangnya dua projek di bawah peningkatan pengangkutan awam. Satu, Scomi Engineering memasuki tawaran untuk membina badan bas sebanyak 400 buah untuk Syarikat Prasarana milik kerajaan. Nilai projek ialah RM120 juta. Kedua, workshop keretapi syarikat ini telah siap untuk kerja-kerja baik pulih 1,500 gerabak kepunyaan KTM dan ini mungkin meningkat kepada penyelenggaraan 3,500 gerabak setiap tahun. Kita semua tahu Scomi milik siapa. Kenapa Scomi begitu istimewa?Itu belum masuk cerita MAS. Mas perlu 4 bilion tahun ini. RM2 bilion mesti datang dari kerajaan. Selagi kebocoran seperti ini tidak dibaiki, kita semua menjadi mangsa. Tahun lepas MAS rugi 1.2 bilion. Tahun ini, dijangka MAS rugi lagi lebih satu bilion. MAS beli lukisan dengan harga begitu mahal. Bila diberitahu, Perdana Menteri minta perkara ini dilapor pada pengurusan MAS. Sikap sambil lewa terhadap pembaziran dan penyelewengan yang berlaku dalam Negara ini menyebabkan rakyat akhirnya menanggung beban.

HARAKAH: Jadi, apa cadangan saudara?

HUSAM: Saya cadangkan, demi kebaikan rakyat dan negara, kerajaan kena turunkan semula harga minyak. Kerajaan boleh naikkan sedikit cukai petroleum ke atas Petronas untuk menampung sejumlah yang diperlukan bagi mengekalkan harga minyak pada harga asal. Kalau tidak, reputasi Pak Lah dan Najib tak akan dapat dipulihkan dan rakyat kita menderita kerana keputusan yang salah pada waktu yang salah. Harga barang tak akan dinaikkan untuk elak kesan kepada pengguna.Semua rakyat tahu ini tidak logik. Kerajaan sendiri tak boleh tahan untuk naikkan harga minyak ini. Tarif elektrik juga akan dinaikkan.

Rakyat diminta serap kenaikan harga minyak tetapi kerajaan sendiri tak mahu berbuat demikian. Mana nilai moralnya? Kalau betul kerajaan tak mahu harga barang naik, kena tunjuk contoh dengan tidak naikkan harga minyak. Kata-kata Pak Lah, tak ada sebab teh tarik kena naik harga, betul-betul mempermainkan rakyat. Kenaikan kos hidup adalah kesan selari dari kenaikan harga minyak dan ini semua orang tahu. Takkan Perdana Menteri tak tahu? Selain kos langsung, penjual teh tarik juga perlukan tambahan pendapatan untuk biayai kos hidupnya yang meningkat selari dengan kenaikan harga minyak. Sepatutnya, dengan kekayaan kita yang ada, kalaupun tidak kesihatan percuma, pendidikan mesti percuma. Ini untuk menyediakan biasiswa bagi pelajar cemerlang pengajian tinggi pun Kerajaan BN tidak mampu.Kita perlukan suara rakyat yang lebih berkesan untuk hentikan segala jenis penyelewengan yang akhirnya merugikan negara kita seperti yang berlaku sekarang.

 
Date:
Sun, 16 Apr 2006 14:59:41 +0800
From:
"Afandi Yussof" Add to Address Book Add Mobile Alert
Subject:
assalamualaikum
To:
proteshargaminyak@yahoo.com

Dr Hatta,

Pertama sekali ana ucap tahniah di atas usaha2 yang telah, sedang & akan dijalankan bagi memprotes kenaikan barga minyak oleh UMNO/BN.

Keduanya ana memang memantau isu ini sejak kenaikan tahun lepas. Penjelasan oleh NEAC - UPEN ternyata suatu pembohongan besar ketika itu dan hasilnya mereka tidak dapat membuat penjelasan tentang kenaikan 30 sen. Kalau dulu mereka claim subsidi kerajaan 24 sen untuk setiap liter, jadi berapa subsidi sekarang? Mana mereka dapat harga sebenar sekarang 246 sen seliter untuk petrol, Rm44.94 sen untuk setong gas 14kg ? Jika betul, berapa pulak kos sebenar? Rakyat bukan semua bodoh tak boleh kira untung rugi.

Kita tidak akan bersetuju dengan kenaikan ini selagi masih ada minyak mentah negara yang boleh memenuhi keperluan rakyat. Kerana sekiranya kita mengimpot 100% minyak mentah sekalipun, Petronas seluruhnya masih belum rugi, mereka masih ada hasil dari carigali di 31 negara lain.

Infrastruktur awam tanggungjawab kerajaan, bukan rakyat. Kerajaan tiada hak untuk meminta dari rakyat khusus untuk kemudahan awam. Melainkan dana dan aset negara telah habis terus.

Bagi ana subsidi minyak sebenarnya memang tak wujud dan sengaja diada-adakan oleh UMNO/BN bagi menagih simpati rakyat. Sekiranya benar maka kerajaan mesti buktikan dokumen pembayaran kepada Petronas, kononnya Rm12b setahun.

Kenyataan Pak Lah bahawa minyak kita akan habis pada 2010 adalah juga pembohongan besar dan kenyataan itu akan memberi kesan kepada proton. Sekarang stock kereta proton bersepah di sana-sini. Kuasa beli rakyat telah menjunam akibat gertakan PM bahawa minyak diimport
sepenuhnya tahun 2010. Apa ertinya harga kereta turun 2-3 ribu jika puluhan ribu terpaksa rakyat belanjakan untuk isi minyak kereta.

Sebenarnya banyak fakta2 di internet tentang harga minyak yang boleh kita olah untuk diberi penerangan kepada rakyat.

Untuk makluman Dr Hatta, harga petrol di Qatar sekarang ialah 84 sen (80 dirham) shj seliter. (lebih murah dari air minuman 1.5Liter di negara kita). Untuk makluman juga, Tapis Crude dari Terengganu adalah yg termahal di dunia, dan Dubai crude yang Petronas import adalah yg termurah di dunia. Beza harga keduanya boleh rujuk report IEA yang ana sertakan.

Kita tunggu dan lihat kesannya dalam masa beberapa bulan, kuasa beli rakyat yang menurun sudah pasti menyebabkan hasil cukai jualan kerajaan akan merosot dan jumlah ini mungkin tidak dapat diimbangi dengan rm4.4b kenaikan harga minyak, seterusnya hasil untuk RMK9 akan terjejas. Hutang negara akan terus meningkat, rakyat terus terbeban. Kroni juga yang senang lenang.

Akhirnya bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama dengan orang2 yg sabar.

Kalau perlukan maklumat lanjut hubungi ana di nombor2 di bawah.

Sekian dulu.

Afandi YussofTel: 609-8662230Fax: 609-8662231H/p: 019-9152426

Data Penting Dikemaskini pada 22 Mac 2006 Klik DisiniPilih [ Sila Pilih ] Populasi Perangkaan Penting Jangka Hayat Ketika Lahir Pendapatan Negara / KDNK Imbangan Pembayaran Perdagangan Luar Negeri Eksport Utama Pengeluaran Indeks Pengeluaran Perindustrian Indeks Harga Pengguna Indeks Harga Pengeluar Guna Tenaga Kemaskini pada 28 Februari 2006

 

Cerita-cerita di Ceramah Perdana

Date: Tue, 18 Apr 2006 17:36:30 +0800
From: "Nashita Md Noor"
Subject: Ceramah Perdana Protes harga Minyak-Laporan
To: proteshargaminyak@yahoo.com

Protes Harga Minyak.

Pada malam semalam, 17 hb April 2001, kami sekeluarga telah melapangkan masa untuk menghadiri satu ceramah perdana anjuran PROTES mengenai isu protes kenaikan harga minyak. Ceramah bermula jam 9.00 malam. Ikutkan hati saya memang ingin sangat nak pergi, namun ikutkan kekuatan badan, memang letih untuk pergi.Manakan tidak, tugas saya secara rasmi bermula sebaik sahaja azan subuh berkumandang. Kebetulan dari pagi hingga jam 2.30 petang, banyak aktiviti rumah dan keluarga yang perlu diselesaikan. Jam 2.30 petang saya telah berjanji dengan Cikgu Norlaila Othman untuk menghantar anak-anak Anas Bad Latif dan Suhaib Mat Sah pulang ke asrama di Sekolah Menengah Islam Hira’, Jeram Selangor. Maka tepat jam 2.30 petang kami bertolak ke Jeram dengan membawa 2 orang anak kami serta 4 orang sahabat mereka pulang ke asrama. Sepanjang perjalanan kami pergi dan balik kami isikan dengan perbincangan ringan dan berat mengenai isu-isu kezaliman ISA dan aktiviti GMI. Isu yang sebati dengan diri kami berdua.

Jam 7 malam, tiba semula di rumah sambil menunggu anak-anak pulang ke rumah dari sekolah. Selepas Maghrib, kami sekeluarga sudah bersiap sedia untuk ke Dewan Perhimpunan China. 3 orang anak-anak yang baru pulang dari sekolah juga dibawa bersama dalam keadaan lapar dan letih. Sebelum tiba di SCAH, kami singgah untuk solat Isyak dan makan malam. Sampai di SCAH hampir jam 9.30 malam. Hati rasa agak hambar dan sedih melihat dewan yang besar yang sepatutnya boleh memuatkan mungkin 1000-2000 orang dipenuhi dengan kerusi-kerusi kosong. Mungkin hanya 100-150 buah kerusi yang terisi..hanya jangkaan suami saya. Terkenang saya hampir 5 tahun yang lalu iaitu tanggal 30hb April 2001 di kala Gerakan Mansuhkan ISA dilancarkan dengan rasminya pada malam itu. Satu gabungan yang diwakili oleh 82 badan NGO dan parti politik. GMI ditubuhkan setelah 10 orang tahanan politik Reformasi, iaitu Ezam, Tian Chua, Abu ’Urwah, Pak Din, Raja Petra, Ustaz Badrul, Ghani Haroon, Gobalakrishnan, Ustaz Badrul dan Lokman ditahan dibawah akta zalim ISA. Ketika itu semangat bencikan kezaliman pihak pemerintah membuak2. Maka dewan itu juga, dipenuhi padat dengan rakyat yang menuntut bela di atas kezaliman pemerintah. Ramai yang datang dari jauh sejauh dari Utara, Selatan, Timur dan Barat. Dengan desakan yang berterusan dari GMI bersama aktivis pencinta keadilan, dengan sokongan yang kuat dari badan-badan hak asasi luar negara, ke semua 10 orang tahanan politik ISA dibebaskan dengan 6 orang daripadanya dibebaskan setelah tamat tempuh 2 tahun, tanpa sebarang syarat.

Kini pihak pemerintah terus-terusan melakukan kezaliman ke atas seluruh rakyat jelata. Maka ceramah Perdana semalam diadakan bagi menyedarkan rakyat, menggerakkan rakyat dari ’tidur yang lena dan panjang’ untuk bangun bersama menentang tindakan zalim kerajaan menaikkan harga minyak. PROTES juga sebagai satu tanda amaran kepada kerajaan untuk tidak dengan sewenang-wenangnya menekan rakyat dengan bernacam-macam kenaikkan harga pada masa hadapan.

Penceramah-penceramah pada malam itu semuanya hebat-hebat dan bersemangat. Mereka terdiri dari Dr Hatta Ramli sebagai MC, Elizabeth Wong dari HAKAM, Letchumi dari JERIT, Zaid Kamaruddin dari JIM, Syed Shahir dari MTUC, Lim Guan Eng dari DAP, Arutchelvan-PSM, Sivarasa-Keadilan dan Ustaz Nasharudin dari PAS.

Walaupun hadirin begitu sedikit, penceramah tetap bersemangat mungkin kerana hadirin yang datang pun hebat-hebat belaka juga. Ramai yang tidak ’miss’ menyertai perhimpuanan aman. Syed Shahir menyatakan kehairanannya mengapa tidak ramai yang hadir sedangkan isu kenaikan harga minyak ini sangat penting dan menzalimi terutama sekali kaum pekerja. Beliau menyebutkan demonstrasi ini adalah perkara yang tidak ada salahnya namun perkataan tersebut telah dibayangkan sebagai sesuatu yang negatif. Walaupun ada yang yang mengatakan bahawa demonstrasi Protes Sampai Turun tidak akan menurunkan harga atau menjatuhkan sesebuah kerajaan, namun perkara ini tidak mustahil dengan semangat kebangkitan rakyat yang bencikan kezaliman pemerintah. Ini jelas berlaku kepada Thaksin di Thailand juga di Indonesia.

Apa yang tidak berlaku di Negara kita yang tercinta ini ialah ’kegelapan media’. Media utama lansung tidak menyebutkan atau menayangkan tentang peristiwa yang bersejarah ini. Syed Shahir bertanyakan ’Apakah peristiwa penangkapan lebih dari 21 orang awam itu tidak ada nilai berita!!??? Namun menurut beliau, pada malam selepas demonstrasi aman 26 Mac, sekitar jam 12.45 malam beliau telah menerima panggilan telefon dari sahabatnya di Vietnam yang mengucapkan tahniah kepada nya yang membuatkannya terasa hairan. Rupanya sahabatnya dapat menonton di televisyen di sana dengan jelas apa yang berlaku di demonstrasi aman 26 Mac. Tahniah juga untuk kita semua yang bersama menyatakan rasa benci dan marah kita tanpa melanggar undang-undang atau perlembagaan negara.

Dalam semangat yang membara itu, Syed Shahir menyelitkan juga isu-isu jenaka yang mengena ke batang hidung kita sendiri, akan sikap kita. Ketika kerajaan dengan angkuhnya mengumumkan kenaikan harga minyak pada jam 10.30 malam, maka berbondong-bondonglah orang ramai menyerbu stesen-stesen minyak untuk memenuhkan tangki setiap kenderaan yang kita ada sebelum jam 12 tengah malam. Katanya seolah-olah dengan isian terakhir itu apat menampung sehingga tempoh 3 tahun lamanya. Selepas ini kita memang tak boleh tidur sebab mungkin harga tariff letrik dan lain-lain lagi juga akan dinaikkan dan pengumuman akan dibuat pada lewat malam juga. Namun Dr Hatta Ramli menambahkan lagi selorohnya, iaitu bila kerajaan mengumumkan akan naik harga letrik pada jam 10 malam, kita semua tidak tidur dan memasang lampu sebanyak-banyaknya hingga jam 12 tengah malam untuk nikmati harga murah sebelum berakhir. Sinis sekali sebenarnya.

Saudara Arutchelvan pula menambahkan lagi dengan menyebut bahawa alasan yang diberi oleh PM kita kenapa beliau mengambil jurusan Islam adaalah kerana dia telah gagal dalam jurusan ekonomi. Maka patutlah parah kita semua dibuatnya kerana kita memiliki seorang Menteri Kewangan yang gagal dalam subjek ekonomi. Malang...amat malang. Andaian Sdr Arut ialah PM kita sekarang layak digelar sebagai Bapa Separuh Jalan berbanding gelaran Bapa-bapa lainnya. Ini terbukti dengan pembinaan jambatan bengkok ”S” yang berkahir separuh jalan, pencegahan rasuah yang hebat pada awalnya saja, penubuhan IPCMC dan lain-lain lagi. Sdr Arut juga memberikan banyak maklumat mengenai apa yang berlaku di Venezuela di mana hasil keuntungan syarikat minyak di sana dikongsi bersama dengan rakyat dengan pembinaan projek-projek perumahan kepada rajkyat, pembinaan sekolah-sekolah dan lain-lagi. Namun di Malaysia.......??????

Jawapan untuk apa yang berlaku dan tidak berlaku pada keuntungan Petronas ada dihadapan mata kita dan didedahkan oleh Sdr Lim Guan Eng dan Ustaz Nasharuddin. Lim Guan menyebut keuntungan Petronas yang sebanyak 500 billion sejak awal penubuhannya sepatutnya diagihkan kepada semua rakyat. Sekiranya diagihkan secara sama rata kepada rakyat sejumlah 25 juta orang, setiap orang akan mendapat sebanyak RM 20000, Banyak tu. Namun wang tersebut dibazirkan dengan pembinaan projek Mega yang tidak berguna pada rakyat semua. Pembinaan Putrajaya, Petronas Twin Tower, Sepang F1 Circuit dan banyak lagi, pembaziran yang nyata,hasil ilham siapa..apa nama tu???.

Ustaz Nasharuddin mendedahkan jawapan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika ditanya persoalan samada Petronas ada atau tidak membayar zakat dari keuntungan Petronas, jawapan dari Menteri tersebut ialah TIDAK, TIDAK Pernah. Maka menurut Ustaz Nasharuddin, bukan saja PM kita gagal ekonomi tapi dia juga gagal dalam subjek Islamnya.

Banyak sekali yang diperkatakan oleh ke semua penceramah, sungguh bersemangat dan menyuntikkan semangat. Tapi sayang, masih ramai yang tidak ada daya mengerakkan jiwa dan minda bersama-sama mendengarnya. Bagaimana kita hendak berjaya menentang kezaliman sekiranya kita terus berasa lega dan leka. Apa salahnya meluangkan masa meramaikan majlis-majlis seperti ini untuk menunjukkan kepada pemerintah yang ramai rakyat bencikan tindakan mereka. Rakyat mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan. Bukannya kita ingin menghancurkan negara kita yang tercinta dengan perhimpunan aman yang kita lakukan, namun atas dasar sayangkan negara kita. Kita tidak mahu negara kita tergadai kepada kuasa-kuasa besar luar. Menurut salah seorang penceramah sehingga kini sekiranya dibahagi samarata, hutang negara kita ke atas setiap kepala rakyat Malaysia sejak lahir lagi, setiap kita menanggung hutang sebanyak RM 1000. Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak kita yang masih keci kini serta cucu-cicit kita menanggung derita di kemudian hari hasil kealpaan kita mencegahnya. Ini bakal berlaku sekiranya kita masih selesa meneruskan kehidupan seolah kezaliman yang melata hanyalah umpama angin yang berlalu yang menyapa pipi kita.

Ayuh semua...bangkit dan teruskan perjuangan. Satu perhimpunan untuk mengedarkan risalah mengenai isu kenaikan harga minyak akan diadakan pada 22 hb April ini di Masjid India. Mari bersama-sama kita lakukan.

Sekian. Semoga Bermenafaat.
Nashita Md Noor

This page is powered by Blogger. Isn't yours?